PERUTUSAN
TAHUN BARU 2003
Muhasabah Menyambut
Tahun Baru
Allah SWT berfirman:
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh. Dan yang nasihat menasihati tentang kebenaran dan
yang ingat-mengingat akan kesabaran.
Masa telah membawa kita sampai ke hari ini 1 haribulan Januari tahun 2003. Masa
berjalan tidak pernah berehat. Sudah cukup jauh perjalanannya. Sudah banyak
kisah yang berakhir tapi masa belum lagi mahu berhenti. Bilakah masa akan
berakhir yang akan mengakhiri segala perjalanan makhluk? Hanya Allah sahaja yang
tahu, kerana Dialah Pencipta masa dan mengawal perjalanannya. Sedangkan Allah
tidak terikat oleh masa. Kita perlu ingat masa di sisi manusia tidak sama.Masa
yang beredar menurut ukuran jin tidak juga sama dengan ukuran masa oleh malaikat.
Lain alam lainlah ukuran masanya. Masa yang dipakai di dunia tidak sama dengan
jarak masa yang dipakai di akhirat. Satu hari di akhirat sama dengan seribu
tahun ukuran dunia.
Saudara saudari,
Ambil perhatianlah dengan masa. Dia adalah suatu kejadian yang cukup luar biasa,
menjadi penentu dan kayu ukur perjalanan hidup kita. Allah sendiri bersumpah
dengan masa! Bahawa rugilah sesiapa yang menghabiskan masa tanpa beriman,
beramal soleh dan nasihat menasihati tentang kebenaran dan kesabaran.
Kini tahun baru masihi 2003 telah pun datang untuk kita. Tidak lama lagi tahun
baru hijriah 1424 pula akan tiba. Masa ini memberitahu kita bahawa suatu hari
nanti, seperti yang sudah ditetapkan oleh Allah, masa untuk kita sudah habis.
Hidup ini ada hujungnya. Perjalanan pasti sampai ke destinasi.Masa lah yang jadi
penentunya.
Kalau begitu dipermulaan awal tahun baru mari kita lihat ke belakang dan ke
depan, masa yang sudah kita habiskan dan yang akan kita habiskan, apakah sudah
memenuhi maksud serta tujuan hidup dan tujuan mati kita nanti. Untuk apa kita
minta ditambah lagi umur, kalau ianya merugikan? Mari kita lakukan post mortem
atau muhasabah yang sebenar-benarnya agar kita menemukan kebenaran dan kesabaran
yang Allah maksudkan itu. Mudah-mudahan kita selamat dari kaum yang menyambut
awal tahun hanya dengan pesta-pesta dan keramaian yang merugikan itu.
Sebenarnya muhasabah bukannya boleh dibuat setahun sekali. Bahkan setiap hari.
Alangkah bagusnya kalau kita jadualkan muhasabah kita kepada kategori-kategori
berikut: Harian, mingguan, bulanan, tahunan, dekad dan abad. Hal-hal yang
dimuhasabahkan pula boleh dibahagikan kepada peringkat-peringkat peribadi,
keluarga, jemaah, masyarakat, negeri, negara dan dunia.
Hari ini sempena tahun baru kita kena buat post mortem bertaraf tahunan. Satu
tahun ada 12 bulan. Mengapa 12 bulan perlu satu post mortem. Tentu Allah
mempunyai maksud dan hikmahNya menetapkan 12 bulan sebagai jangka tahunan. 12
bulan ini sebenarnya tidaklah panjang masanya kalau diukur dengan umur yang
panjang sampai 100 tahun misalnya. Tapi 12 bulan jadi panjang waktunya kalau di
ukur dengan ukuran satu dekad yakni 10 tahun. Kalau begitu memang elok sungguh
setiap 12 bulan sekali lagi manusia melakukan post mortem pada diri, keluarga,
jemaah, bangsa dan negerinya. Supaya himpunan-himpunan muhasabah harian,
mingguan, bulanan itu dapat dirumuskan pencapaian secara menyeluruh. Yang gagal
dikaji sebab-sebab kegagalan untuk dibaiki manakala kejayaan itu hendak terus
suburkan. Diharapkan dengan sistem penilaian yang begini, umat Islam khususnya
tidak lagi jadi umat yang ketinggalan dalam bidang-bidang pendidikan, politik,
ekonomi, sosial dan lain-lain. Bahkan boleh menempah sejarah gemilang yang
1. Muhasabah peribadi
Peribadi agung yang kualitinya ialah satu orang boleh mengalahkan sepuluh orang
dengan izin Allah. ( Yakni dalam bidang ekonomi, pendidikan dan semua aspek)
hanya dapat dibina oleh ajaran wahyu. Yakni peribadi yang fikiran dan jiwanya
berteraskan tauhid. Allah SWT betul-betul menguasai akalnya dan hatinya. Rasa
bertuhan dan otak bertuhan jadi pemangkin utama mendorong sikap dan fikirannya.
Terus terang saja, bahawa sijil-sijil dan degree bukan pemangkin untuk bangunkan
bangsa. Patriotisma itu mesti berteraskan cinta Tuhan bukan cinta duit, cinta
perempuan, cinta dunia dan cinta peribadi. Hari ini tanyalah diri sendiri,
sejauh mana pencapaian cinta Tuhan itu sudah dibuat. Semaklah rukun iman, teras
bina jiwa itu setakat mana dipelajari, difahami, dihayati dan diperjuangkan.
1. Percaya Allah apakah sampai jatuh hati pada-Nya?
2. Percaya malaikat sudahkah berhubung dan memberi salam?
3. Percaya Rasul apakah ia jadi idola dan pujaan, fanatik dan rindu mendalam
hingga sunnahnya jadi kegilaan?
4. Percaya kitab telahkah menjadi sumber rujukan dan dasar perjuangan?
5. Percaya kiamat sampaikah ia jadi matlamat dan dunia hanya jambatan bukan
rebutan? Akhirat dibesarkan atau dunia dibesarkan?
6. Percaya qada qadar betul-betul ke jadi perinsip hidup sehingga Allah
benar-benar jadi hakim, jadi bank, jadi guru tempat rujuk, jadi kawan setia,
jadi hanya tempat meminta tolong dari sekecil-kecil masalah hingga
sebesar-besarnya.
Umur sudah matang tapi apakah fikiran dan roh ikut matang? Yakni rukun iman dan
rukun Islam sudah mendarah daging, bukan bertaraf tauhid darjah 6 atau tauhid
hafalan. Demikian jugalah keIslaman kita dilihat kepada penghayatan rukun Islam.
1. Kalimah syahadah yang beribu kali sudah disebut itu masih hanya dibibir atau
sudah menjadi hati jantung kita sehingga Allah dan Rasul benar-benar dicintai,
ditakuti, gementar hati dengan Allah hingga sanggup jadi abid di malam hari dan
singa di siangnya untuk berkhidmat dengan makhluk.
2. Sembahyang rukun Islam kedua, apakah masih macam ayam patuk-patuk atau sudah
berakar umbi membuah peribadi-peribadi yang satu orang sama dengan 10 atau 20
orang yang tidak cintakan Tuhan.
3. Puasa adakah hanya untuk tidak makan dan minum atau sudah lahir darinya
malaikat yang berupa manusia.
4. Zakat sudahkah membina masyarakat tanpa kasta yang mana orang miskin menjadi
kesayangan orang kaya.
5. Haji pula betul-betul ke melahirkan orang-orang Tuhan yang mereka itu
mendengar, melihat, berfikir dan berfirasat dengan pandangan Allah? Atau haji
masih bertaraf pelancongan dan shopping atau sekadar kejar fadhilat?
Semak juga di awal tahun ini apakah pokok-pokok iman dan Islam tadi sudah
berbuah? Buahnya sungguh manis hingga orang bukan Islam pun jatuh hati. Yakni
lahirnya peribadi-peribadi yang sanggup merendah diri, rela pemurah, mampu
berkasih sayang, tahu dan tahan sabar, redha dan pemaaf. Bahkan sanggup tidak
membalas kejahatan orang padanya. Orang begini adalah orang kesayangan, sama ada
dalam negara, negeri, masyarakat, jemaah, sekolah, pejabat, kampung dan dalam
keluarga. Orang-orang begini kalau dia pemimpin, dialah penyelamat. Sudahkah
universiti-universiti Islam melahirkan tokoh-tokoh agung ini supaya umat Islam
bukan lagi jadi punca masalah tapi jadi penyelamat dunia?
2. Muhasabah keluarga.
Sebuah keluarga yang miliki pemangkin yang kuat, dibangunkan oleh
peribadi-peribadi agung akan jadi keluarga super. Suami amat bertanggungjawab
dan adil, isteri sungguh setia dan taat, anak-anak betul-betul benteng keluarga.
Poligami pun pada mereka bukan masalah. Keluarga begini boleh jadikan kasih
sayang dan bertolak ansur budaya dan cara hidup mereka. Dengan jiran hormat
menghormati, bantu membantu, berlapang dada dan sangat tengok menengok. Andainya
keluarga besar kita sudah berada di kualiti ini, sungguh orang Islam akan
diserahkan kembali kekuasaan dunia oleh Allah. Tapi kalau keluarga masih porak
peranda, awas! cepat-cepat diusaha baik pulih sebab neraka menanti.
3. Muhasabah masyarakat
Masyarakat sekampung kalau dibangunkan oleh keluarga yang bertaqwa, akan jadilah
masyarakat yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah. Kita akan lihat satu
permandangan yang hanya dapat dilihat sekitar 1500 tahun yang lalu di mana
pemimpin jadi payung, melindungi umat dari panas dan hujan kehidupan sedangkan
dia basah kuyup dan kena panas terik, tersiksa dalam kehidupannya. Ulama-ulama
jadi obor, lampu penerang umat dunia akhirat. Dengan ilmu dan taqwa, mereka
membakar kejahilan, kemungkaran, maksiat, kezaliman dan kepalsuan dalam
masyarakat. Terang benderanglah kampung itu dengan iman, Islam, ilmu, kebaikan,
kasih sayang, akhlak, ukhwah dan perjuangan.
Orang kaya jadi bank, pintu-pintu rumah mereka sentiasa terbuka untuk
orang-orang miskin, fakir, ibu tunggal, anak-anak yatim, orang berhutang,
orang-orang musafir, orang susah dan kemalangan. Mereka berebut-rebut untuk
menyimpan di bank Allah yakni di akhirat. Takutkan hari hisab dan neraka
menyebabkan mereka tidak takut membuang kekayaan di dunia. Mereka rindukan
syurga Allah di akhirat.
Pemuda pemudi kerana cintakan Tuhan mampu menjadi khalifah-khalifah kecil di
bumi Allah. Mereka berjuang dan membenteng bangsa dari kejahatan. Orang-orang
miskin dalam masyarakat bukan masalah dan bukan sampah. Mereka sangat berjasa
pada negara dan bangsa. Merekalah tenaga-tenaga masyarakat, membuat kerja-kerja
mulia memakmurkan rakyat. Mereka redha dengan Allah, Allah redha dengan mereka.
Allah berfirman:
Bilamana penduduk satu kampung bertaqwa, maka Allah akan bukakan berkat dari
langit dan bumi.
Di awal tahun ini, sudah sampai ke mana masyarakat kita ini? Peribadinya,
keluarganya, jemaah, negeri dan negara. Sudahkah jadi masyarakat berdikari atau
masih bersandar keperluan kepada bangsa lain? Mundur atau majukah orang kita ini?
Sedang berjuang dengan serius atau sambil lewa? Sungguh-sungguh atau malas-malas?
Tugas-tugas atau amanah-amanah yang dipercayakan samaada oleh kerajaan atau
swasta sudahkah disempurnakan? Tidak lupa masyarakat sekampung yang kurang
bernasib baik sudahkah kita bantu, ziarah-menziarahi, bekerjasama, berkasih
sayang? Kalau ada lori angkat sampah, kita tanya atau tidak sudah makan ke belum?
Di pasar bila beli ikan sanggup tak bayarkan orang yang disebelah kita. Bila
makan di restoren, ada tak belanja meja di sebelah kita? Di jalan raya, sudahkah
kita beri laluan kepada kereta lain, supaya jangan ada perebutan dan
pertembungan yang merbahaya? Bila makan teringat tak jiran? Sudahkah orang-orang
gaji dilayan seperti keluarga, diajak makan sama dan diberi hadiah-hadi
4. Muhasabah Jemaah
Jemaah-jemaah Islam atau pejuang-pejuang yang bertaraf global dan internasional,
demi kebenaran yang datang dari Allah, supaya dunia dikembalikan kepada keadilan
dan ketaqwaan, persiapkanlah segala keperluan dan syarat-syarat untuk diberi
kemenangan oleh Allah. Sejarah merakamkan peristiwa menangnya Islam oleh
orang-orang Allah bilamana pasukannya bersembahyang malam, bersugi, luruskan saf,
berkasih sayang dan sanggup berkhidmat pada semua manusia. Itulah simbol taqwa.
Maka Allahlah pelindung mereka.
Di awal tahun ini, semaklah jemaah. Apakah sumbangan kita sudah maksimum?
Perpaduan dan kasih sayang di taraf mana? Teruskan baiki diri oleh setiap
individu, kemaskan keluarga, kampung, ekonomi, budaya, klinik dan hospital,
sekolah-sekolah, restoran-restoran, pasaraya dan apa lagi aktiviti-aktiviti
jemaah. Pastikan semuanya berada di kualiti yang memuaskan dan dibantu Allah.
Moga-moga etnik ini akan jadi alternatif kepada segala kebuntuan yang melanda
dunia.
Itulah dia muhasabah atau post mortem namanya.
Natijah
Begitulah sepatutnya kita koreksi diri secara Islam untuk tempoh setahun yang
berlalu.Jika didapati dalam semua bidang itu kita berjaya dengan cemerlang,
teruskan lagi.Tapi jika nasib masih malang, jangan diulang. Yang cacat ditampal,
yang baik diteruskan, yang belum wujud difikirkan untuk tindakan. Jika semua
warganegara berfikiran begini, setiap awal tahun masihi dan hijriah melakukan
muhasabah diri, yang rosak dibetulkan, yang berlubang ditampal, yang kurang
ditambah, yang baik diteruskan, bahkan lebih dibaiki lagi. InsyaAllah, dari
tahun ke tahun, dari dekad ke dekad dan seterusnya, kita akan mendapat natijah
yang kita idamkan. Bangsa dan negara akan jadi maju atas nama Islam.
Masyarakatnya mempunyai moral yang tinggi sekali , kerana Tuhan disembah, saling
berkasih sayang, bekerja sama, berakhlak mulia, dan berbudi tinggi. Orang bukan
Islam pun jatuh hati kerana layanan yang menarik hati. Maka akan berlakulah
tamadun jasmani, maknawi dan rohani pada bangsa
Inilah semangat tahun baru. Semangat memeriksa diri dan membaiki diri, keluarga,
masyarakat, jemaah, negeri dan negara. Dan ia tidak sama sekali menjadikan pesta,
keramaian, perayaan, berpoya-poya dan berangan sebagai agenda. Sebab bangsa yang
kuat bukan disibukkan oleh program-program suka ria dan berlalai-lalai. Hanya
bangsa yang lemah dan menuju jatuh saja yang ada masa untuk suka-suka dan
bermain-main sesama mereka.
Ya Allah, Yang Memberi dan Mencabut kekuasaan dari siapa yang Ia suka,
muliakanlah bangsa ini dengan Iman dan Islam. Lepaskan kami dari kehinaan yang
menimpa. Wariskanlah kekuasaan kepada orang-orang bertaqwa yang mereka itu
sanggup jadikan hidup mati untuk menyembahMu dan motivasikan manusia untuk
menyintaiMu! Amin.