KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi
Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga.
Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta
tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit
Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah
beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke
tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya
bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau
dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan
melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi
Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam
hatinya penuh keheranan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu
dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke
dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa
pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan
penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa
agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama
Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat
begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah
ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar,
Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal
dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku
sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari
aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku
bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang
sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu
lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa
a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga
nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya.
Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga.
Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami
pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa
ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga
hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga
ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa
kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.