PAKU
PAKU DI TIANG
Beberapa ketika yang silam, ada
seorang ikhwah yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar
menjadi seorang yang lalai menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih
ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang,
puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya. Sebaliknya amal
kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu
macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya.
Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau nii terlalu
sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu
tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka
aku akan benamkan satu paku ke tiang ini.
Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan ku cabut keluar
dari tiang ini." Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap
hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang
sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar
paku dari tiang.
Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh
berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar lepas. Tiang yang berdiri
megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah
sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku.
Ada yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas. Setelah melihat keadaan
tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata,
timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri Mat kerana selama ini bergelumang
dalam dosa dan noda. Maka dia pun berazamlah untuk memperbaiki dirinya. Mulai
detik itu, Mat mula sembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya
dari tiang.
Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak lagi paku
tercabut. Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang melekat. Maka
semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak
kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggal, hingga
akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di tiang. Maka
ayahnyapun memanggillah anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku
terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang.
Tidakkah kamu gembira? Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik
melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis
teresak-esak.
"Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau
gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada.
Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu,
paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut-parut lubang dari paku
itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya."