DOSA

Hassan Basri telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda
ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di
negeri Basrah. Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk
diatas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan,
dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka.
Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit
masing-masing.

Hasan Basri mara ke depan tabib itu dan berkata: Tuan tabib! Adakah tuan
mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?".

Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada
saya".

Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara
iaitu: Ambil oleh mu akar kayu fakir dan akar kayu tawaduk dan campurkan
dengan pencuci kotoran perut bernama taubat. Lalu masukkan semua ke dalam
lesung redha, dan giling sampai halus dengan pengetam Qana'ah. Kemudian
masukkan ke dalam periuk taqwa, dan tuangkan ke dalamnya air hayak (malu).
Lalu didihkan dengan api mahabbah (cinta). Selepas itu pindahkan dia ke
dalam mangkuk syukur dan kipaskan dengan kipas angin rajak (harapan).
Kemudian minumlah dia dengan sudu pujian. Jika engkau perbuat semua itu,
maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit
serta bala di dunia dan di akhirat".